Muslimin yang dirahmati Allah,
MARILAH kita meningkatkan  ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan  dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan  segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan  beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah  Subhanahu Wata'ala menciptakan manusia hidup di atas muka bumi ini  adalah semata-mata untuk beribadah kepadanya dengan penuh keimanan dan  ketakwaan. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala tidak mengharapkan  sesuatu daripada apa yang dilakukan oleh manusia. Perkara ini jelas  dinyatakan di dalam surah Azariat ayat 56-58 tafsirnya:
"Dan  ingatlah aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk  menyembah dan beribadah kepada Ku, Aku tidak sekali-kali menghendaki  sebarang rezeki pemberian daripada mereka dan Aku tidak menghendaki  supaya mereka memberi makan kepada Ku. Sesungguhnya Allah Dia-lah sahaja  yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk dan Dia-Lah sahaja yang  mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga, lagi yang Maha kuat kukuh  kekuasaan-Nya".
Pengertian ibadah itu sebenarnya amat  luas, bukan hanya khusus terhadap ibadah sembahyang, puasa, zakat dan  haji sahaja, akan tetapi ibadah itu merangkumi segala amal perbuatan  yang dilakukan dalam kehidupan ini, termasuklah juga dalam usaha kita  mencari rezeki melalui pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan sama  ada dalam bidang pendidikan, perniagaan, pengurusan dan semua bidang  pekerjaan dengan syarat semuanya itu disertakan dengan niat yang ikhlas  semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wata'ala. Firman  Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Qasas ayat 77 tafsirnya:
"Dan  tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu  akan pahala dan kebaikan hari akhirat dan jangan lah engkau melupakan  bahafianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama  Islam mengalakkan umatnya mencari rezeki untuk hidup kerana ia adalah  satu tuntutan atau kewajipan keatas manusia bagi memenuhi keperluan  kehidupan seharian seperti makanan, pakaian, tempat tinggal dan  keperluan lain samada untuk diri sendiri mahupun orang yang berada  dibawah tanggungannya. Namun apa yang penting dan perlu diingat bahawa  rezeki yang dicari dan diperolehi itu biarlah dari sumber yang baik dan  halal serta diberkati oleh Allah Subhanahu Wata'ala.
Agama Islam  juga menuntut umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan  bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga,  masyarakat dan negara. Islam melarang dan memandang rendah kepada  umatnya yang malas bekerja yang hanya bergantung nasib kepada  pertolongan orang lain.
Dalam suasana kehidupan yang penuh  persaingan pada masa ini, sikap memilih pekerjaan sudah tidak sesuai  lagi. Selain peluang berkhidmat dengan kerajaan atau pihak swasta, ada  banyak peluang pekerjaan lain yang boleh diceburi dan diusahakan seperti  pertanian, perikanan, penternakkan dan sebagainya.
Sesungguhnya  pekerjaan dibidang pertanian, penternakkan dan perikanan itu adalah satu  kerja yang murni disisi agama, masyarakat dan negara khususnya untuk  mempastikan negara kita tidak terlalu bergantung kepada bekalan dari  luar negara yang belum tentu selamat dan halal.
Muslimin yang dirahmati Allah,
Seperti  yang telah diketahui pada setiap 1 November telah diishtiharkan sebagai  hari peladang, petani, penternak dan nelayan di Negara Brunei  Darussalam, dan pada tahu ini hari tersebut disambut dengan tema "Makanan Terjana, Negara Selamat".  Sesungguhnya menjana makanan negara ada satu usaha murni yang  digalakkan dalam membentuk kehidupan masyarakat yang berdikari dan  berupaya memberi sumbangan kepada negara keperluan penduduk sendiri  dengan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan dari negara luar.
Jaminan  keselamatan makanan negara ini adalah mustahak terutama sekali dalam  menengani masa-masa kritikal seperti krisis kekurangan makanan yang  disebabkan oleh pergolakkan politik, bencana alam, perubahan iklim,  jangkitan wabak penyakit dan lain-lain.
Apa yang penting, makanan  yang dihasilkan hendaklah dijamin kebersihannyam kehalalannya, selamat  dan memenuhi penyawaian dan peraturan kebersihan dan keselamatan makanan  yang digariskan dan tidak dicemari oleh bahan-bahan yang boleh  menjejaskan keselamatan dan kesihatan awam atau daripada benda yang  haram dan meragukan.
Sesungguhnya bidang pertanian, perikanan,  penternakkan khususnya dalam pengeluaran makanan dan produk halal  membuka peluang pekerjaan dan keuntungan besar kepada pelabur dan  pengusaha. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam surah Al-Mulk ayat 15  tafsirnya:
"Dia-lah yang menjadikan bumi untuk kamu,  mudah digunakan, maka berjalanlah dimerata-rata jarak rantaunya, serta  makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah, dan ingatlah kepada Allah  jualah tempat kembali kamu sesudah dibangkitkan hidup semula, maka  hargailah nikmat dan takutilah kemurkaan-Nya".
Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam  amat menitikberatkan bidang pertanian kerana ina bukan sahaja untuk  kepentingan agama tetapi juga memberi sumbangan yang besar kepada  peningkatan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan manusia sejagat.
Rasulullah  Sallahu Alahi Wasalam telah menekankan di dalam sabdanya tentang betapa  perlunya tanah pertanian dibangunkan untuk menghasilkan bahan makanan  dan tidak mengizinkan sama sekali tanah dibiarkan dan dibazirkan begitu  sahaja. Perkara ini dijelaskan dalam sebuah hadith baginda maksudnya:
"Dari  Sulaiman bin Yasar, bahawa Rapi' bin Khadij berkata: Rasulullah Sallahu  Alahi Wasalam bersabda: Sesiapa yang mempunyai tanah hendaklah dia  mengerjakannya dengan bertani atau jika dia tidak berupaya melakukannya  hendaklah menyerahkannya kepada saudaranya supaya diusahakan dan  janganlah dia menyewakan hanya seper tiga dan seper empat" (Riwayat  Al-Imam Abu Daud)
Berdasarkan hadith tersebut, jelas  bahawa manusia bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi ini sebagai tanda  kesyukuran dengan memanfaatkan hasil ciptaan Allah Subhanahu Wata'ala  untuk kebajikan manusia.
Oleh yang demikian, kita hendaklah  memajukan dan mempertingkatkan lagi bidang pertanian, perikanan dan  penternakkan dengan cara menjadikannya sebagai sumber perniagaan kerana  bidang tersebut nyata memberi keuntungan, manfaat kepada manusia sejagat  dan memperluaskan pengeluaran makanan halal dunia. Akhirnya marilah  kita berdoa semoga negara kita akan sentiasa maju dalam bidang  pertanian, perikanan dan penternakan, dan sekaligus akan meningkatkan  ekonomi negara. Amin Ya Rabbal Alamin.
"Dan makanlah yang  halal lagi baik dari rezeki yang Allah telah kurniakan kepada kamu, dan  bertakwalah kepada Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman". (Surah  Al-Maidah ayat 88)
-This week khutbah taken from the Ministry of Religious Affair. 






 
 
 



 
 
 
No Response to "MAKANAN TERJANA NEGARA SELAMAT"
Post a Comment