Saudara-saudara umat Islam sekalian,
AIDILADHA atau hari Hari  Raya Haji adalah salah satu di antara hari-hari yang besar dalam Islam  yang mesti dibesarkan menurut selayaknya dengan bertakbir, bersembahyang  sunat hari raya dan menyembelih binatang korban. 
Memperkatakan  tentang ibadah korban pula, sebenarnya ibadah korban itu mendidik umat  Islam supaya bersifat dermawan dan murah hati, kerana semua nikmat yang  ada pada hakikatnya adalah pinjaman dan amanah Allah Subhanahu Wata'ala,  yang kelak pasti akan diambilnya satu persatu, maka segala nikmat yang  ada pada diri kita hendaklah dimafaatkan dengan sebaiknya.
Oleh  itu bagi mereka yang mampu, lakukanlah penyembelihan korban pada setiap  tahun, yang daging dijadikan sedekah kepada fakir miskin dan boleh  dijadikan hadiah kepada orang-orang yang mampu seperti jiran tetangga  serta rakan taulan yang beragama Islam.
Pada kelazimannya, pihak  yang berkorban akan mencari dan menjemput mereka yang berhak menerima  daging-daging korban, dan bukannya para penerima yang meminta-minta.  Keadaan beginilah yang amat terpuji kerana seperti yang kita sedia  maklum bahawa agama Islam melarang umatnya dari perbuatan meminta-minta.  Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala untuk  menjadi seorang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan  untuk meminta-minta. Ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah Sallahu  Alahi Wasalam maksudnya:
"Dari Abi Hurairah Radiaallahu  Anhu, bahawa Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam bersabda: Orang fakir  miskin bukanlah orang yang menadah tangan meminta-minta kesana kemari  kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat sesuap atau dua suap  makanan, atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma, ia akan pergi ke  tempat lain. Akan tetapi fakir miskin itu ialah orang yang tidak  mempunyai sesuatu yang mencukupi bagi menyara hidupnya. Dan orang ramai  pula tidak mengetahui keadaan penderitaan untuk diberi bantuan dan ia  pula malu hendak meminta-minta bantuan kepada orang ramai". (Riwayat  Al-Imam Bukhari)
Muslimin yang dirahmati Allah,
Agama  Islam mengalakkan umatnya supaya berusaha dan bekerja dengan  bersungguh-sungguh bagi meningkatkan taraf kehidupan diri, keluarga,  masyarakat dan negara. Justeru agama melarang orang dari malas bekerja  dan hanya bergantung nasib kepada pertolongan orang lain.
Rasulullah  Sallahu Alaihi Wasalam juga ada berpesan bahawa orang yang bekerja  mencari rezeki itu walaupun hasilnya sedikit, itu adalah lebih baik dari  perbuatan meminta-minta, sebagaimana sabda baginda dalam sebuah hadith  maksudnya:
"Dari Aniz Zubar bin Uwam Radiaallahu Anhu,  dari Nabi Sallahu Alaihi Wasalam baginda bersabda: Sekiranya salah  seorang dari kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu,  kemudian ia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga  kehormatannya, yang demikian itu adalah lebih baik daripada  meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak". (Riwayat  Al-Imam Bukhari)
Dalam sebuah riwayat pula ada  diceritakan bahawa telah datang seorang sahabat daripada ansar kerana  meminta sesuatu pertolongan. Maka ditanya oleh baginda: Apakah tuan ada  menyimpan sesuatu barang yang boleh dijual di rumah tuan. Sahabat  menjawab: Ya ada, sehelai kain cadar yang lebar, separuh daripadanya  hamba pakai untuk selimut dan separuh lagi hamba tinggalkan di rumah,  selain itu hamba juga ada menyimpan sebuah mangkuk piring untuk hamba  minum. Rasul Allah bersabda: Bawalah kemari keduanya. Setelah ia  mengambil dan diserahkan kepada baginda, maka segeralah baginda  menawarkan barang tersebut kepada sahabat-sahabat yang hadir, siapakah  di antara kalian yang mahu membeli barang ini? Seseorang berkata: Saya  akan membelinya satu derham, baginda menawarkan kembali: Siapakah yang  mahu membeli lebih dari satu derham? Maka seorang sahabat yang lain  berkata: Saya beli keduanya dua derham, setelah wang itu diterima  baginda, maka diserahkannya kepada sahabat anasir tadi sambil bersabda:  Satu derham supaya kamu belikan makanan untuk keluarga mu dan yang satu  derham supaya kamu pakai untuk membeli kapak dan bawa kemari. Setelah  orang itu membeli kapak dan dibawanya kepada Rasulullah Sallahu Alaihi  Wasalam, maka baginda memasang kayu sebagai pegangan kapak tersebut  seraya bersabda: Pergilah mencari kayu dan jual lah dan janganlah datang  kemari selama 15 hari, maka dia menuruti perintah baginda dan hasil  penjualannya sudah mencapai sepuluh derham digunakannya. Kemudian ia  datang kepada Rasulullah Sallahu Alaihi Wasalam untuk memberitahu  tentang keadaannya, maka baginda bersabda: Tidakkah ini lebih baik  bagimu daripada datang pada hari kiamat dengan titik hitam di mukamu  akibat perbuatan meminta-minta dan mengemis.
Jika kita amat-amati  daripada kisah tadi jelas bahawa Islam sangat mengalakkan umatnya  berusaha dan bekerja dan melarang umatnya meminta-minta dan hanya  mengharapkan bantuan orang lain. Orang yang malas bekerja hanya akan  menjadi beban kepada orang lain. Sesungguhnya siapa yang berusaha untuk  mencukupi keperluan keluarganya dan tidak berharap kepada bantuan orang,  maka itu adalah jihad Fi Sabilillah.
Orang yang demikian, wahai  kaum muslimin yang dirahmati Allah, kita sebagai umat Islam hendaklah  mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Sesungguhnya  perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskan itu hanya  menjatuhkan maruahnya dan menjejaskan imej dirinya. Malahan perbuatan  meminta-minta hanya akan mencerminkan sikap yang negatif dalam  masyarakat iaitu sentiasa bergantung kepada ihsan dan bantuan orang  ramai atau pihak tertentu. Sebagai orang Islam, kita hendaklah rajin  berusaha dan bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa  bersyukur, sabar dan redha dengan apa jua kurnia dan pemberian Allah  Subhanahu Wata'ala. Semoga dengan demikian, mudah-mudahan Allah  Subhanahu Wata'ala mengurnuakan rezeki yang melimpah ruah lagi berkat  keatas kita semua. Amin Ya Rabbal Alamin.
"Katakanlah  Wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang  dikehendakinya di antara hamba-hambanya, dan ia juga yang menyempitkan  baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan  meningkatkannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki" (Surah  Saba' ayat 39)
-Taken from the Ministry of Religious Affair 






 
 
 



 
 
 
1 Response to KHUTBAH AIDILADHA YANG KEDUA
salam Aidil Adha
Post a Comment